Setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan
Setelah lebih lima dekad Melayu memerintah
Merancang dan melaksanakan pembaharuan
Mengapa katanya Melayu masih ketinggalan?
Menjadi ‘penumpang’ dengan gelar ketuanan
Menjadi ‘pengemis’ dalam watan yang kaya-raya
Menjadi ‘miskin’ di kepuk hasil bumi sendiri
Menjadi ‘melukut’ dalam gantang pribumi
Ah, melayukah Melayu ini?
Yang melarat di pertiwi sendiri?
Tahap ekonomi masih jauh dari sasaran DEB
Takah 30% kabur
Langkah mencapainya sering terbentur
Usahawan kecil lemas dalam bantuan
Korporat ‘instant’ tenggelam dalam pinjaman
Lahir segelintir elit ekonomi yang lupa jati diri
Kaya-raya oleh label bumiputera
Tapi sudahnya melupakan bangsa
Lahir pula usahawan marhein yang miskin
Walau ilmu ditabur modal dihulur
Tapi bisnes tak ‘betul-betul’
Berniaga ‘buluh kasap’
Modal habis untung lesap!
Bankrap terlalu kerap-
Bukan lagi sesuatu yang hina
Tapi satu strategi penuh rencana
Dasar Pelajaran Kebangsaan masih impian
Bila pelajar Melayu terus ketingalan
Di IPTA atau IPTS - dari segi kuantiti atau kualiti
Bilangan mahupun kelulusan
Siswazah Melayu masih pinggiran
Soal kuota tak terisi atau kantung ibu bapa yang tak berisi?
Bahana idealisme atau bahang hedonisme?
Kata seorang pengkaji itu
Gara-gara makanan Melayu tidak bergizi
Kata media Melayu
Itu angkara sikap yang terlalu dimanjakan
Kata pemimpin
Itu akibat malas, lembap dan tak mahu bersaing
Ah, ketika begini teringat pula lagu lama
-lagu Melayu, ‘Bangau, oh Bangau!’
Bila semua pihak saling menuding jari
Demi menyelamatkan maruah diri!
Jenguk-jenguk pulalah ke Pusat Serenti
Tanyakan ‘apa khabar’ orang di sana
Atau singgah sahaja di lorong belakang Chow Kit
Sapalah remaja harapan bangsa
Yang telah menjadi mangsa
Jangan bicara soal patriotisme
‘Perut’isme pun mereka sudah lupa
Bukan ratus, bukan ribu, tapi ratus ribu
Itu belum dikira bohjan dan bohsia
Belum dicampur penjenayah juvana
Perogol, peliwat dan penzina
Judi, arak, mencuri, merompak
Ah, tidak perlu angka statistik
Dan angka-angka komputer
Cukup sahaja dengan mata dan telinga
Untuk memastikan siapakah mereka?
Ya, siapa lagi….Melayulah jua
Lebih kronik konflik politik
Di antara parti dengan parti
Dan sesama sendiri dalam satu parti
Sama-sama nekad, sama-sama dahsyat
Musim pilihanraya - ajak kawan lawan parti lawan
Musim pemilihan - ajak kawan makan kawan
Riuh sejak lama tentang politik wang
Heboh sampai sekarang tak hilang-hilang
Bergaduh soal nyamuk membakar kelambu
Bertikai soal ‘cara’ mengorbankan ‘hala’
Terlupa soal adat dan tatasusila bangsa
Terpinggir prinsip akhlak dan hukum agama
Kuasa menjadi ‘komoditi’ yang menjanjikan laba
Bukan lagi amanah yang berisikokan dosa
Ah, semakin ramai Melayu yang ingin memimpin
Sedangkan ada yang tak layak…
Walaupun sekadar untuk dipimpin
Tak mahu jadi gerabak,
Bertolak-tolak nak jadi kepala…
Akhirnya ‘keretapi’ bangsa terhenti…
Perjalanan bangsa pun tergendala!
II
Kembalilah ke sejarah, belajarlah dari Rasulullah
Bagaimana baginda membina satu bangsa bermaruah
Sedangkan awalnya terkenal barbar dan jahiliyah
Lihat apa yang disuburkannya di peringkat Makkah
Lihat apa yang digemburkannya di peringkat Madaniah
Bukankah apa yang dihadapinya penuh persamaan
Dengan nasib kita yang sering ditimpa kehinaan
Justeru Arab jahiliyah itu cermin sejarah
Bagi setiap bangsa yang bermasalah
Belajarlah dari jahiliyah
Politiknya kacau-bilau – perang saudara tak pernah aman
Antara kabilah, bani dan suku sentiasa bercakaran
Sebab yang sedikit, perangnya berkait-kait
Ekonominya tenat – monopoli Yahudi mencengkam nadi
Telaga, pasar dan kebun dimonopoli
Terpaksa menjadi ‘hamba’ di bumi sendiri
Sosialnya parah – zina, arak, bunuh bayi
Bangsa hilang maruah, umat hilang arah
Rom dan Parsi pun tak sudi menjajah!
Itulah gambaran bangsa yang sangat tenat
Gersang, kontang, lemah, kalah
Menunggu saat untuk dicampakkan ke longkang sejarah!
Tiba-tiba datang Rasulullah membedah masalah
‘FIRST THING FIRST’ – OPERASI DI DALAM DIRI, DISELESAIKANNYA ‘SOAL HATI’
Disingkirkannya syirik, dicantasnya berhala materialistik
Lalu diperkenalkan Allah – agar cinta dan takut hanya pada-Nya
Diperkenalkan Akhirat – agar ghairah syurga dan takut neraka
Lihat alam, lihat semesta…bukti kewujudan-Nya
Jangan nafikan penciptaan kedua (akhirat)
Ketika penciptaan pertama (dunia) kini di depan mata!
Walaupun ekonomi, politik, sosial jahiliyah menghadapi masalah
Tetapi Rasulullah mendahulukan aqidah
Diperhebatkannya dakwah, dipertingkat tarbiah
Disemai iman, dituainya persaudaraan
Justeru ekonomi sakit sebab iman sedikit
Justeru politik tersasar apabila ukhwah melonggar
Justeru sosial hancur akibat iman dan ukhwah meluntur
Bukan menafikan keperluan ilmu, kepakaran teknologi
TAPI JANGAN SEKALI-KALI DIREMEHKAN SOAL HATI
Kerana ini bukan hanya soal pengetahuan
Tapi sebenarnya soal kemahuan
Bukan masalah kurang harta tapi masalah ‘miskin’ jiwa
Bukan kekuatan luaran tetapi kekuatan dalaman
Kerana bangsa tanpa kekuatan iman…
Bagai kapal hilang pedoman
Indahnya bila iman menjadi teras kepakaran dan pengetahuan
Gagahnya bila iman menjadi asas pembangunan dan kemajuan
Itulah langkah susulan selepas iman di Makkah
Rasul membina ekonomi, sosial dan siasah
Dengan roh iman di Madinah
Bukan seperti Arab Jahiliyah, yang memisahkan
Kehidupan dari aqidah
Belajarlah dari sejarah menangnya Rasulullah
Belajarlah dari sejarah kalahnya Arab Jahiliyah!
-Putera Watan
Damansara Damai
Solusi, Isu Perdana
Labels
- Program (1)
0 comments to Belajar Dari Sejarah Menangnya Rasulullah