Kenalkan Allah Kepada Hatinya…

Posted by Kem Remaja Islam Sarawak [KRIS] On Monday, 27 April 2009 1 comments
Kata pepatah:
Melentur aur biar dari rebungnya
Kerana bila sudah menjadi buluh…
Diurut payah dilurut patah
Mendidik biar sewaktu kecil
…bagai mengukir di atas batu
Mendidik ketika dewasa
…bagai melukis di atas pasir

Tapi bagaimana kiranya
Jika di peringkat rebung lagi
Aur sudah sekah
Sudah reput dan sudah rekah
Rosak sudah di pangkal
Punah sampai ke hujung
Keruh sudah di hulu
Kelodak sampai ke hilir
Di awal alpa bismillah
Di akhir tanpa alhamdulillah

JENAYAH DI PERINGKAT SEKOLAH
MASALAH LAMA TERUS TERSERLAH
BARAH YANG SUDAH LAMA MEMBENGKAK
KINI MELETUS MENGELUARKAN NANAH
KATA SESETENGAH PIHAK – INI MASALAH ‘KECIK’
TAK SAMPAI KE TAHAP KRONIK
PERATUSNYA TAK SAMPAI SATU
TAK PERLU DIHEBOH-HEBOHKAN DULU
KATA SESETENGAH PULA – INI MASALAH NEGARA
TUNAS GENERASI SUDAH TERCALAR
KANAK-KANAK LAGI SUDAH TERCEMAR
APAKAN JADI BILA REMAJA?
APATAH LAGI NANTI DEWASA?

Didiklah putera-puteri mengenal Allah
Diteraskan al-Quran, berasaskan al-Sunnah
Diajar beradab dan beribadah
Menerusi sejarah hidup Rasulullah
Biar program awalnya bersih putih
Akar tunjangnya teguh kukuh
Jiwa, akal, emosinya gagah
Bersendikan – Awwaluddin Makrifatullah
(awal agama mengenal Allah)

Ajarkan dia menghitung dosa
Di samping belajar menghitung angka
Asuhlah dia membaca
Dengan roh ‘Iqra’ daripada Yang Esa
Ketika sudah pandai menulis
Dia seharusnya telah sedar
Akan tipuan iblis!

Ajar dia mengenal yang dicipta
Berasaskan iman kepada Pencipta
Ketika berinteraksi sesama insan
Jangan lupa komunikasi kepada Tuhan
Ketika meneguk nikmat
Ingat Pemberi Nikmat
Jangan asyik mengkaji tumbuhan dan haiwan
Hingga lupa mengenal Tuhan…
Kenalkan Allah kepada hatinya
Nescaya kenallah dia kepada ibu bapa
Masyarakat dan negara
Tetapi kalau lupa pada DIA
Dia akan lupa segala
Juga pada dirinya!

Berhenti sejenak di satu destinasi
Istirehat sejenak mengatur koreksi
Kita tidak boleh lagi terus-terusan begini
Menghasilkan penghuni Pusat Serenti
Menghasilkan manusia bohjan bohsia
Masalah dadah dan juvana

INI BUKAN LAGI SOAL PENDEKATAN
TAPI SOAL PRINSIP DAN KEYAKINAN
Jangan persoalkan kecil besar
Banyak atau sedikit
Ini bukan soal statistik atau data
Bukan soal diskusi, forum dan seminar
Tetapi soal manusia
Ya, siapa menyemai gelombang
Dia akan menuai badai
Bila rebung-rebung menjadi rentung
Kita perlu kembali ke benih
BETULKAN MUKADIMAH…
INDAHLAH NATIJAH.

Dipetik dan diubah suai dari:
Abu Asif
Manjalara, Kepong
Solusi, Isu no.4

KEM REMAJA ISLAM SARAWAK 2009 (KRIS’09)…
Salah satu jalan membetulkan ‘mukadimah’…
Demi menghasilkan ‘natijah’ yang indah…
Buat generasi pewaris Islam di Sarawak.

Bersama nantikan kemunculannya.

1 comments to Kenalkan Allah Kepada Hatinya…

  1. says:

    Jambatan Nurani certainly right, sebelum kita mendidik seseorg hamba Allah, knalkan dia pd khaliknya (penciptanya)..apabila tertanam cinta antara sang hamba & sang pencipta..maka mudahlah melentur n menjentik HATINYA...hatinya lembut & bersih dek kerana NUR ILLAHI yg mgalir dlm tubuhnya..pandangan mata hati kurniaan ILLAHi bukan senang utk dimiliki.hnya yg benar2 ikhlas n bermujahadah nafsu yg mmpu memilikinya..wallahu'alam.

Post a Comment

Labels